Layanilah ahli kebatilan dengan budi bahasa, bersabarlah dengan kezaliman yang dilakukan oleh mereka. Jauhilah kamu dari memarahi mereka. Jagalah peradaban apabila kamu bergaul dan berbincang dengan mereka, kerana kamu tidak dapat mengelakkan diri dari bergaul dan berbincang dengan mereka walaupun secara taqiyyah sebagaimana telah diperintahkan oleh Allah di antara kamu dan mereka.
Jauhilah lidah kamu dari tergelincir dengan kata-kata pembohongan, dosa dan permusuhan, kerana jika kamu menahan lidah kamu dari apa yang dilarang oleh Allah, adalah lebih baik bagi kamu di sisi Tuhan kamu. Kerana tergelincirnya lidah pada apa yang dilarang oleh Allah akan membawa kepada kemurkaan-Nya terhadap hamba-Nya. Allah akan menjadikannya pekak, buta dan bisu pada hari Kiamat sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Baqarah (2):18 “ Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka kembali ” Iaitu mereka tidak akan bercakap dan firman-Nya di dalam Surah al-Mursalaat(77): 35-36 “Ini adalah hari yang mereka tidak dapat berbicara, dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur sehingga mereka minta uzur
Perbanyakkan tahlil, takdis, tasbih, pujian kepada Allah, ibadat kepada-Nya, dan mencintai kebaikan di sisi-Nya yang tidak dapat dicapai hakikatnya oleh seseorang melainkan dengan keredaan-Nya. Justeru sibukkan lidah kamu dengan perkara-perkara tersebut. Dan jauhilah dari percakapan batil yang membuatkan pelakunya kekal di neraka jika dia mati tanpa taubat
Hendaklah kamu sentiasa berdoa kerana muslimin tidak akan mencapai kejayaan hajat mereka di sisi Tuhan yang lebih baik dari berdoa kepadaNya. Justeru sahutilah seruan Allah, nescaya kamu mendapat kejayaan dan selamat daripada azab Allah.
Jauhilah dari membiarkan diri kamu tamak kepada apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atas kamu, kerana sesiapa melanggari apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya di dunia, maka Allah akan menghalangnya syurga, nikmat, kelazatan dan kemuliaan yang abadi.
Janganlah kamu merasa angkuh dan takbur kerana takbur itu adalah pakaian Allah. Sesiapa yang menentang Allah akan pakaianNya, maka Dia akan menentangnya dan menghinanya pada hari Kiamat. Janganlah kamu melakukan kezaliman ke atas orang lain, kerana ia bukanlah daripada sifat golongan yang soleh. Lagipun kezaliman itu akan kembali kepada diri sendiri. Pertolongan Allah adalah untuk mereka yang dizalimi. Sesiapa yang ditolong oleh Allah akan menang dan kemenangan itu adalah daripada Allah.
Jauhilah perasaan hasad di kalangan kamu kerana kekufuran asalnya daripada hasad. Jauhilah kamu dari membantu [seorang] melakukan kezaliman terhadap seorang muslim yang dizalimi, lantas dia berdoa kepada Allah ke atas kamu dan diterima doanya terhadap kamu. Bapa kami Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya doa seorang muslim yang dizalimi itu diterima (mustajabah). Sebahagian kamu hendaklah membantu sebahagian yang lain kerana bapa kami Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya menolong muslim itu adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya daripada berpuasa sebulan dan beriktikaf di Masjid Haram.
Jauhilah kamu dari menyusahkan seorangpun di kalangan saudara-saudara mukminin kamu. Sekiranya kamu menyusahkannya dengan sesuatu perkara, maka ia akan berlaku kepada kamu selepasnya kerana bapa kami Rasulullah saaw bersabda: "Seorang muslim tidak boleh menyusahkan saudara muslimnya. Dan sesiapa yang menyusahkannya, maka Allah akan menyeksanya pada hari Kiamat".
Jauhilah dari memarahi ahli kebatilan dan berpeganglah kepada petunjuk para salihin, ketenangan mereka, lemah lembut mereka, kewarakan mereka daripada perkara yang haram, kebenaran mereka, kesetiaan mereka dan ijtihad mereka kerana Allah dengan melakukan ketaatan kepadaNya. Jika kamu tidak melakukan sedemikian, maka kamu tidak akan mencapai kedudukan para salihin sebelum kamu.
Sesiapa yang ingin mengetahui bahawa Allah mencintainya, maka hendaklah dia beramal dengan mentaatiNya dan mengikut kami, tidakkah dia mendengar firman Allah a.w kepada Nabi-Nya s.a.w di dalam Surah Ali Imran (3): 31 “Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu”. Demi Allah, seorang hamba tidak akan mentaati Allah selama-lamanya melainkan Allah menjadikannya di kalangan pengikut-pengikut kami. Demi Allah, seorang hamba tidak mengikut kami selama-lamanya melainkan Allah mengasihinya. Demi Allah, seorang tidak akan mengetepikan seorang daripada pengikut-pengikut kami selama-lamanya melainkan dia memarahi kami. Demi Allah, seorang tidak akan memarahi kami melainkan dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mati di dalam keadaan derhaka kepada Allah, maka Allah menghinanya dan mencampaknya ke neraka. Segala puji bagi Allah Tuhan alam semesta.
No comments:
Post a Comment